Muslimin Yang Berbahagia,
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan
peningkatan usia dari hari ke hari.
Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan
bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di
tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu;
kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya
kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang
telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. ”
Namun persoalannya bukan usia
yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita
lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia
lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam
mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang
tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan
dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan
tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada
secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan
mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan
muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami,
sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak
kecil kami.” (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak,
kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini
sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa
mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua
ibu bapa. Jika salah seorang
dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan
dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun
perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada
mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana
belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah
mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini, banyak kes
penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua.
Ada di kalangan
mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah
terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh
disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan
tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya
rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai
waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan
tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini
menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda
semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh
dunia.
Mengikut
statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012 seramai 2020
orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan
Masyarakat. Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu
Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes
pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan
masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan
kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini
mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai
kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar
ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Ingatlah wahai muslimin
sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada
mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang
bermaksud “Ada tiga jenis manusia yang
terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya,
seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah
isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang
berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara
sesamanya dengan hasutan-hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa
Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda
baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya
lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun
ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki
hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya,
begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain,
nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW
yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam
keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah,
sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada
zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat
keredhaan seorang ibu.
Apalah gunanya anak-anak berpangkat
besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian
mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita
harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita
mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan
air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di
manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan
berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan. Janganlah
kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila
dewasa membalasnya dengan tuba.
Muslimin Yang
Berbahagia,
Bersempena dengan
1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, marilah sama-sama kita
mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang telah banyak berjasa kepada
agama, bangsa dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung
memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati
usia tua. Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan
perasaan kasih sayang terhadap mereka. Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya
kepada kedua ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin
utama ke arah membina masyarakat penyayang. Ingatlah bahawa ketaatan kepada
kedua ibu-bapa merupakan pintu keredhaan Allah SWT di dunia ini. Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam
surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: “Dan
rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,
dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
0 ulasan:
Catat Ulasan